Stalker (ii)

EMPAT


Bella menyelak sehelai demi sehelai novel aviation yang baru dipinjamnya. Entah apa mimpi dia tiba-tiba berminat untuk mengetahui serba-serbi berkaitan penerbangan. Hendak kata cita-citanya hendak menjadi seorang pilot, tidak pernah sama sekali. Hendak kata untuk assignment, dia sedang belajar dalam course Kesusasteraan Bahasa Inggeris. Sedang dia khusyuk membaca halaman keempat, kerusi di hadapannya ditarik. 

"Hi."

Hati Bella berbunga tatkala matanya melihat wajah jejaka yang sedang duduk di hadapannya. Tetapi kemudian, perasaan itu perlahan-lahan pudar dan Bella hanya menghadiahkan senyuman nipis kepada sang jejaka. Bella melihat matric card yang digantung di lehernya. Amir Khairul.

"Rajin betul pakai matric card?" Bella menegur sebelum meneruskan bacaannya. Jejaka yang bernama Amir itu tersenyum sahaja. "Nanti kena saman susah pulak. Baca buku apa tu?" Amir bertanya. Bella mengangkat sedikit buku yang dipegangnya. "Aviation? Wow. Nak jadi pilot ke Cik Bella?" Amir berseloroh. "Bella kan course English, mana ada kelayakan nak jadi pilot. Ala orang baca je la, bosan asyik baca novel cinta je."
Suasana bertukar diam seketika. Amir bangun untuk mencari buku Syariah Islam di rak buku. Bella memasang earpod di kedua-dua belah telinganya dan kembali membaca. Lucky Strike nyanyian Maroon 5 terpasang kuat sehingga Bella tidak menyedari akan Amir yang kembali duduk di hadapannya. Amir menolak sedikit buku yang sedang dibaca oleh Bella. Bella mengangkat sedikit kepalanya. Amir tersenyum simpul kemudian kembali tunduk, membuka helaian pertama buku Syariah Islam. 

Bella merenung wajah Amir lama. Amir mempunyai sepasang mata yang sederhana besar, tetapi kuyu. Pandangannya redup. Kedua-dua belah pipi Amir dipenuhi parut-parut jerawat yang normal bagi seorang remaja sepertinya. Sesekali dia menyelak rambut ikalnya ke atas. Dan setiap kali Amir berbuat demikian, hati Bella terasa seperti disiat. 
Amir bukanlah setampan Tom Cruise mahupun James Dean. Dan Bella juga tidak mempunyai raut wajah seperti Audrey Hepburn. Tetapi ada satu aura di dalam diri Amir, yang masih mengikat Bella pada jejaka tersebut. Ada satu jenis perasaan yang menyesakkan dada tetapi membahagiakan dirinya.

Enam tahun Bella cuba membuang perasaan itu, dan setiap kali dia cuba berbuat demikian, Amir akan datang menghalang.....


LIMA


Aishah memasukkan dua sudu cili kisar ke dalam kuali. Hidungnya sesekali berair dek kerana bau tumisan yang menyengat dan memedihkan rongga hidung. Dia kemudian menapis semangkuk besar udang harimau sebelum dimasukkan ke dalam tumisan. Aishah menumis dengan cepat. Dia mahu segalanya terhidang sebelum Hazim turun. 

"Apa benda la mandi bukan main lama lagi dia ni. Macam perempuan." Aishah mengomel sendirian sambil menyenduk sambal udang ke dalam mangkuk kaca. Pagi tadi setelah Aishah mencelikkan mata, dia menoleh ke kiri dan ternampak Hazim sedang berdengkur kecil di sisinya. Di dalam hati, dia lega kerana suaminya itu tidak mengalihkan bantal golek yang terletak di antara mereka. Mungkin Hazim mengerti, Aishah memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Hazim muncul di ruang makan. Rambutnya yang separa kerinting disisir kemas ke belakang. Hazim mengenakan kemeja merah dan berseluar hitam. Aishah menoleh sekilas ke arah suaminya sebelum kembali tunduk sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan. Debaran di dalam hatinya cuba disembunyikan.
Hazim menarik kerusi untuk Aishah dan mengambil dua gelas kosong serta jug berisi air putih. 'Ingat sweet la tu tarikkan kerusi...' Aishah tersenyum sedikit. Aishah duduk, mengaminkan doa makan yang sedang dibaca oleh suaminya. "Mana yang lain?" Hazim bertanya. "Ha?" Aishah menyoal kembali. "Mana yang lain? Mak? Adik-adik? Makcik pakcik semua?" 
"Oh, depa pergi breakfast ramai-ramai dekat luar. Paksu belanja makan. Ada jugak ajak sekali tadi, tapi takpa la. Kita makan dekat rumah je la." Panjang lebar Aishah menerangkan. Hazim sekadar mengangguk. Aishah menguis nasi di dalam pinggan. Peluh dingin mula merecik di dahinya.

"Tanya sikit boleh?"

Hazim berhenti menyuap. "Tanya apa?" 

Aishah mengetap bibir seketika. "Kenapa tiba-tiba awak masuk minang saya?

Hazim tersedak. Aishah cepat-cepat menuangkan air ke dalam gelas lalu disuakan kepada suaminya. Rasa bersalah mula bersarang di dalam hati. "Sorry. Tak tahu pulak sampai boleh tersedak.."
Hazim meneguk perlahan air yang diberi oleh Aishah. Dia menarik nafas sebentar. "Sebenarnya saya tak ada rancangan pun nak kahwin dengan awak." 

BUK! Aishah rasa hati dia seperti dibaling dengan batu sungai. "Habis tu?" Hazim menyambung kembali suapannya. "Awak pun tahu saya ni still student macam awak. Kahwin tu memang tak ada dalam fikiran buat masa sekarang." Aishah rasa telinganya panas. 'Lepas tu yang gi nikah dengan aku tu pasal apa?!' "Lagipun saya masih tak jumpa jenis perempuan yang saya nak buat sebagai calon isteri sebelum ni." Hazim menambahkan bara ke dalam api yang sedang marak di dalam hati Aishah. 

"Kenapa tak tolak je rancangan parents awak kalau macam tu?" Aishah menenangkan hati. "Memang nak tolak pun masa tu...." Hazim masih selamba. "Ha patut tolak je time tu, tak ada la awak kena hidup dengan saya sekarang." Aishah memerli suaminya. Entah kenapa tiba-tiba hatinya sedih. Kecewa dengan jawapan Hazim. 
Hazim senyum. "Awak nak tahu something?"

"Apa?" Aishah menjawab sepatah. Hazim merenung ke dalam mata Aishah. Seperti malam tadi. Aishah cuba menenangkan jantungnya yang sedang berdegup laju. 'Cool Aishah cool....'

"Masa mula-mula mak saya suruh saya kahwin dengan awak tu, saya tak nak pun. Saya tak nak langsung kahwin dengan awak sebenarnya, tahu tak?"
Aishah mengangkat muka. Pipi Aishah merah padam seperti dibakar. Matanya persis mata Smaug si naga di dalam cerita The Hobbit. Aishah bangun.

"Oh hang ingat aku nak sangat la kahwin dengan hang?! Badan kurus melidi, hidung tajam macam pembaris, rambut macam bebiri. Sudah la!"

Aishah menolak kasar kerusi sebelum berlalu keluar dari ruang makan. Hazim melihat sahaja kelakuan isterinya. Dia tersenyum.


ENAM


"Bella tahu tak Aishah rasa macam nak tumbuk muka dia dengan lesung batu. Dia ingat dia handsome sangat ke eh please la!"

Aishah melepaskan amarah di dalam hatinya. Dia menghubungi Bella dan mereka berjumpa di sebuah restoran makanan segera. Pendingin hawa yang terdapat di dalam restoran tersebut ternyata tidak dapat menghilangkan bahang di hati Aishah. 
Bella meletakkan skateboard di atas kerusi di sebelahnya. "Kenapa dia cakap macam tu? Memang la korang dikira kahwin paksa kan, kot ye pun jangan la cakap lagu tu...."
"Tu la pasal! Geram betul aku rasa nak putaq kepala dia!" Aishah mengepalkan buku limanya. Marah benar dia. 

"Ni Aishah keluar ni, dia tahu tak?"

Aishah menggeleng. "Nak mintak izin pun rasa sakit hati. Takpa la balik satgi Aishah mintak maaf la dekat dia pasal keluar tak bagitahu." Aishah masih tahu batas sebagai seorang isteri. Jauh di sudut hati, dia menyesal kerana keluar dari rumah tanpa meminta izin suaminya. 'Baru hari first jadi bini orang, dah buat dosa. Bila nak bertaubat Nur Aishah oi....'
"Bella kata dari library? Tu ada skateboard tu?" Aishah menukar topik perbualan. 
"Asalnya nak pergi skate. Tup-tup hujan. Tu yang kena usung benda alah ni ke library sekali. Oh, tadi dekat library....." Bella tidak dapat meneruskan percakapan. "Amir?" Aishah meneka. Enam tahun berkongsi cerita menjadikan Aishah mahir meneka segalanya yang ada di dalam fikiran rakannya itu. Bella mengangguk perlahan. "Dia buat apa?"
"Cari buku law dia. Lepas tu dia duduk depan Bella. Rasa distracted. Aishah tahu la kan mamat tu kalau duduk diam tangan dia mesti nak sentuh rambut." Giliran Bella membebel. "Nak baca buku pun tak senang. Mata ni asyik nak hadap muka dia tu je."

Tiba-tiba handphone Aishah berdering. Nombor telefon rumahnya terpapar di skrin telefon.

"Bella, nombor rumah Aishah. Nak angkat ke tak?"

"Angkat je la."

"Tapi family Aishah keluar?"

"Laki Aishah kot?"

'Bismillahirrahmanirrahim...' Aishah menarik nafas panjang lalu menekan punat hijau. Dalam hati dia bimbang kalau-kalau sesuatu yang tidak baik berlaku ke atas keluarganya. 

Atau Hazim.






No comments: